Anda mungkin telah mendengar pujian untuk probiotik: Bakteria dan yis yang baik untuk anda ini dikatakan dapat membantu penghadaman, meningkatkan imuniti, dan mengawal atur tabiat pergi ke tandas anda. Ia secara semula jadinya boleh ditemui di dalam saluran GI anda, yang menjadi perumah kepada lebih daripada 500 spesies bakteria, menurut suatu kajian daripada jurnal Gastroenterologi dan Hepatologi Klinikal.
Bukan semua daripada bakteria itu adalah jenis yang baik, tetapi anda boleh meningkatkan bilangan probiotik anda melalui makanan atau suplemen bagi memastikan bakteria yang baik akan melebihi yang tidak baik. Ideanya adalah bahawa sistem anda akan lebih biasa dengan populasi yang baik, tetapi kadang-kadang imbangan ini terganggu.
Ramai orang mengatasi masalah ini dengan memakan makanan semulajadi yang penuh dengan probiotik, seperti yogurt, kefir, Kombucha dan Kimchi. Tetapi, katakan yang anda tidak begitu menggemari produk tenusu ataupun makanan Korea. Bolehkah pengambilan suplemen probiotik membantu anda?
Siapa yang Perlu Mempertimbangkan Suplemen Probiotik —dan Siapa Yang Tidak Perlukannya
Probiotik tidak penting, tetapi ia berbaloi jika anda sedang bergelut dengan sindrom pencernaan terganggu (IBS), sembelit yang kronik, atau sakit perut.
Hanya elakkan daripada bergantung kepadanya sebagai penawar kepada setiap masalah yang dialami oleh perut. Sebenarnya, suplemen probiotik belum dibuktikan dapat membantu individu yang mempunyai penyakit Crohn, misalnya, dan juga boleh menjadi berbahaya untuk mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah, seperti golongan yang sedang dalam proses kemoterapi atau sedang berjuang dalam peringkat lanjutan kanser atau AIDS. Terdapat laporan mengenai jangkitan yang teruk dalam situasi ini di mana probiotik digunakan, walaupun ia tidak diketahui jika probiotik mempunyai apa-apa kaitan dengan jangkitan tersebut.
Secara umum, suplemen probiotik adalah selamat—dan anda akan mendapati bahawa terdapat banyak pilihan jenama di rak-rak kedai ubat.